Monday, October 31, 2016

PEMUDA DAN MAYAT SEORANG GADIS


Pada suatu hari Umar RA di jumpai Rasulullah S.A.W sambil menangis, maka lalu bertanya Rasulullah S.A.W:
"Wahai Umar,apakah yang membuat engkau sehingga menangis?"

Jawab Umar: "Ya Rasulullah,ada seorang di muka pintu ini telah membakar hatiku:"

Berkata Rasulullah: "Ya Umar,bawalah ia masuk."

Lalu Umar RA membawa pemuda itu masuk sambil menangis.

Bertanya Rasulullah S.A.W : "Apakah yang telah engkau lakukan sehingga engkau menangis?"

Pemuda itu menjawab :
"Wahai Rasulullah,aku telah melakukan dosa yang besar!
Aku sangat takut kepada ALLAH S.W.T yang sangat murka kepadaku."

Bertanya Rasulullah S.A.W.
"Apakah kamu mempersekutukan ALLAH?"

Jawab pemuda itu,"Tidak Ya Rasulullah?"

Bertanya Rasulullah S.A.W lagi,
"Adakah kamu membunuh jiwa yang kamu tiada hak membunuhnya?"

Jawab pemuda itu. "Tidak, Ya Rasulullah."

Sabda Rasulullah S.A.W :
"Maka ALLAH akan mengampunkan dosa kamu walaupun sebesar tujuh petala langit dan bumi dan bukit-bukit.

Berkata pemuda itu.
"Wahai Rasul ALLAH, aku telah melakukan dosa yang lebih besar dari langit, bumi dan bukit-bukitNya."

Rasulullah S.A.W. bertanya lagi. "Apakah dosamu itu lebih besar dari Al-Kursi?"

Jawab pemuda itu. "Dosaku lebih besar."

Rasulullah S.A.W bertanya lagi. "Apakah dosamu lebih besar dari Arsy?"

Jawab pemuda itu: "Dosaku lebih besar?"

Rasulullah bertanya lagi ."Apakah dosamu lebih besar dari di maaf oleh ALLAH?"

Maka jawab pemuda itu: "MaafNya lebih besar?"

Lalu Rasulullah S.A.W bersabda:
"Sesungguhnya tidak dapat mengampunkan dosa besar kecuali ALLAH, yang maha besar pengampunanNya."

Maka bersabda Rasulullah S.A.W:
"Katakanlah wahai pemuda, dosa apakah yang telah engkau lakukan?"

Jawab pemuda itu :
"Aku malu hendak memberitahumu ,Ya Rasullullah."

Rasulullah bertanya dengan kuat.
"Beritahu aku apakah dosamu?"

Jawab pemuda itu.
"Begini Ya Rasulullah,kerjaku adalah sebagai penggali kubur.
Aku telah melakukan kerja menggali kubur selama 7 tahun.

Pada suatu hari,aku menggali kubur seorang gadis dari kaum Ansar.
Setelah aku menanggalkan kain kafannya, maka aku meninggalkan ia."

"Tidak jauh aku meninggalkannya,maka naiklah nafsuku.
Oleh kerana tidak dapat menahan nafsu, aku kembali kepada mayat tersebut lalu aku pun menyetubuhinya.
Setelah aku memuaskan nafsuku, maka aku tinggalkan dia.

Belum jauh aku beredar dari situ, tiba-tiba gadis itu bangun dan berkata,:
"Celaka betul kamu,wahai pemuda!
Tidakkah kamu berasa malu pada Tuhan yang akan membalas pada hari pembalasan kelak!
Bila tiba masanya setiap orang yang zalim akan di tuntut oleh yang teraniaya!
Kau biarkan aku telanjang dan kau hadapkan aku kepada ALLAH dalam keadaan junub!"

Apabila Rasulullah S.A.W selesai mendengar keterangan dari pemuda tersebut,
maka dengan segera Rasulullah S.A.W bangun sambil bersabda:
"Hai orang fasik!, memanglah layak kamu masuk neraka dan keluarlah kamu dari sini?"

Maka keluarlah pemuda itu.




Selama 40 hari pemuda itu memohon ampun kepada ALLAH S.W.T dan pada malam yang ke 44, ia memandang ke langit sambil berdoa:




"Ya ALLAH, Tuhan kepada Rasulullah, Nabi Adam dan Hawa,
jika Engkau telah mengampunkan aku, maka beritahulah Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya.
Jika tidak, maka kirimkan kepadaku api dari langit dan bakarlah aku di dunia ini dan selamatkan aku dari seksa akhirat."



Tidak berapa lama selepas peristiwa itu,turunlah malaikat Jibril a,s menemui Rasulullah S.A.W.

Selepas memberi salam Jibril A.S berkata:
"Wahai Muhammad, Tuhanmu memberi salam kepadamu."

"Jawab Rasulullah S.A.W.
"Dialah Assalam dan daripadaNya salam dan kepadaNya segala keselamatan."

Berkata Jibril AS, ALLAH S.W.T bertanya, apakah kamu yang menjadikan makhluk?"

Jawab Rasulullah S.A.W.
"Dialah ALLAH yang menjadikan segala makhluk."

Tanya Jibril lagi.
" Apakah kamu yang memberi rezeki kepada makhluk?"

Jawab Rasulullah S.A.W.
"Dialah ALLAH yang memberi rezeki kepada aku dan makhluk-makhluk yang lain."

Berkata Jibril AS lagi.
"Apakah kamu memberi taubat kepada mereka?"

Jawab Rasulullah S.A.W.
"Dialah ALLAH yang menerima taubat dariku dan mereka."

Maka berkata Jibril,
"ALLAH berfirman, maafkanlah hambaKu itu kerana Aku telah memaafkannya."

Maka segera baginda memanggil pemuda itu dan menerangkan kepadanya bahawa ALLAH telah menerima taubatnya dan memaafkannya.


WAHAI ANAKKU, INGATLAH OLEHMU AKAN ORANG YANG MEMILIKI SEBUKU ROTI ITU..

Abu Burdah bin Musa Al-Asy’ari meriwayatkan,
bahawa ketika menjelang wafatnya Abu Musa pernah berkata kepada puteranya:
“Wahai anakku, ingatlah kamu akan cerita tentang seseorang yang mempunyai sebuku roti.”

Dahulu kala di sebuah tempat ibadah ada seorang lelaki yang sangat tekun beribadah kepada Allah.
Ibadah yang dilakukannya itu selama lebih kurang tujuh puluh tahun.
Tempat ibadahnya tidak pernah ditinggalkannya,
kecuali pada hari-hari yang telah dia tentukan.

Akan tetapi pada suatu hari,
dia digoda oleh seorang wanita sehingga diapun tergoda dalam pujuk rayunya dan
bergelumang di dalam dosa selama tujuh hari sebagaimana perkara yang dilakukan oleh pasangan suami-isteri.


Setelah ia sedar, maka ia lalu bertaubat,
sedangkan tempat ibadahnya itu ditinggalkannya,
kemudian ia melangkahkan kakinya pergi mengembara sambil disertai dengan mengerjakan solat dan bersujud.


Akhirnya dalam pengembaraannya itu ia sampai ke sebuah pondok yang
di dalamnya sudah terdapat dua belas orang fakir miskin,
sedangkan lelaki itu juga bermaksud untuk menumpang bermalam di sana,
kerana sudah sangat letih dari sebuah perjalanan yang sangat jauh,
sehingga akhirnya dia tertidur bersama dengan lelaki fakir miskin dalam pondok itu.

Rupanya di samping kedai tersebut hidup seorang pendita yang ada setiap malamnya selalu mengirimkan beberapa buku roti kepada fakir miskin yang menginap di pondok itu dengan masing-masingnya mendapat sebuku roti.

Pada waktu yang lain, datang pula orang lain yang membagi-bagikan roti kepada setiap fakir miskin yang berada di pondok tersebut, begitu juga dengan lelaki yang sedang bertaubat kepada Allah itu juga mendapat bahagian,
kerana disangka sebagai orang miskin.

Rupanya salah seorang di antara orang miskin itu ada yang tidak mendapat bahagian dari orang yang membahagikan roti tersebut, sehingga kepada orang yang membahagikan roti itu ia berkata:
“Mengapa kamu tidak memberikan roti itu kepadaku.”

Orang yang membagikan roti itu menjawab:
“Kamu dapat melihat sendiri, roti yang aku bagikan semuanya telah habis,
dan aku tidak membagikan kepada mereka lebih dari satu buku roti.”

Mendengar ungkapan dari orang yang membagikan roti tersebut,
maka lelaki yang sedang bertaubat itu lalu mengambil roti yang telah diberikan kepadanya dan memberikannya kepada orang yang tidak mendapat bahagian tadi.
Sedangkan keesokan harinya, orang yang bertaubat itu meninggal dunia.

Di hadapan Allah, maka ditimbanglah amal ibadah yang pernah dilakukan oleh orang yang bertaubat itu selama lebih kurang tujuh puluh tahun dengan dosa yang dilakukannya selama tujuh malam kerana berzina.
Ternyata hasil dari timbangan tersebut,
amal ibadat yang dilakukan selama tujuh puluh tahun itu dikalahkan oleh kemaksiatan yang dilakukannya selama tujuh malam.


Akan tetapi ketika dosa yang dilakukannya selama tujuh malam itu ditimbang dengan sebuku roti yang pernah diberikannya kepada fakir miskin yang sangat memerlukannya,
ternyata amal sebuku roti tersebut dapat mengalahkan perbuatan dosanya selama tujuh malam itu.
Kepada anaknya Abu Musa berkata:
“Wahai anakku, ingatlah olehmu akan orang yang memiliki sebuku roti itu!”..

Sunday, October 23, 2016

MENGAPA SAYA MEMELUK ISLAM - NUH HA MIM KELLER

*
Apa yang akan dipaparkan di sini ialah sebuah pengalaman peribadi seorang ilmuwan yang telah saya hubungi secara bertulis selama lebih setahun dan saya telah berkesempatan untuk menemuinya apabila saya menjemputnya mengelilingi England.
Dia adalah seorang yang agak unik memandangkan dia ialah diantara segelintir penganut islam yang baru yang sudah pun menamatkan pengajian dalam bidang Islam tradisi dan ortodoks,
sudah mempelajari mazhab syafi'e dan hanafi dan juga akidah Islamiah.

Saya berharap yang kisahnya ini akan menjadi sumber inspirasi kepada mereka yang sudah bergerak semakin hampir kepada Islam tetapi masih belum lagi mengucapkan kalimah syahadah,
dan juga untuk memberi kekuatan dan dorongan kepada mereka yang telah pun mengucapkan syahadah tetapi masih mencari-cari kedudukan yang selesa di dalam lautan Islam yang indah,
dan juga sebagai peringatan dan pengesahan kepada sesiapa di antara kita yang telah dikurniakan dengan nikmat islam sejak dilahirkan lagi, amin,. - Mas'ud Ahmed Khan.



*******************


Di lahirkan pada tahun 1954 di sebuah daerah perladangan di sebelah barat laut Amerika Syarikat,
saya dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang kuat berpegang kepada agama Kristian Roman Katolik.
Sewaktu saya masih kecil,
gereja itu memberikan saya satu dunia kerohanian yang tidak dapat dipersoalkan,
kalau pun tidak lebih benar dari alam fizikal di sekeliling saya ini.



Tetapi apabila saya semakin besar,
dan terutamanya setelah saya memasuki universiti Katolik,
hubungan saya dengan agama Kristian Roman Katolik ini semakin dipenuhi dengan pelbagai persoalan,
baik dari segi kepercayaaan atau pun amalan.

Salah satu sebab timbulnya persoalan ini ialah kerana kekerapan berlakunya perubahan di dalam ucapan-ucapan doa (Liturgi) dan upacara di gereja berikutan Majlis Vatikan Kedua yang diadakan pada tahun 1963.


Ini menunjukkan kepada orang biasa bahawa gereja ini tidak mempunyai pegangan yang kukuh.
Di antara sesama mereka paderi-paderi ini memperkatakan tentang keboleh-ubahsuaian dan kesahihan Liturgi mereka,
tetapi bagi penganut Katolik biasa, mereka ini seperti teraba-raba di dalam kegelapan..

Tuhan tidak berubah, begitu juga dengan keperluan jiwa manusia,
dan tidak ada wahyu yang baru diturunkan dari langit.
Tetapi, kita terpaksa mengikut perubahan-perubahan yang dibuat,
dari minggu ke minggu, dari tahun ke tahun,
menambah atau mengurangkan,
menukar bahasa pengantarnya dari bahasa Latin ke bahasa Inggeris,
dan akhirnya menggunakan gitar dan menerima muzik rakyat.
Para paderi memberikan dari satu penerangan ke satu penerangan manakala orang biasa akan menggeleng-gelengkan kepala mereka.
Pencarian untuk suatu bentuk kesahihan membuatkan ramai penganut agama ini merasakan yang tidak pernah ada apa-apa bentuk kesahihan yang nyata sejak awal lagi.

Sebab yang kedua ialah begitu banyaknya kesukaran untuk memahami doktrin-doktrin yang terkandung di dalam agama Kristian ini.
Contohnya ialah doktrin triniti,
yang mana tidak pernah seorang paderi atau orang biasa yang dapat menerangkannya secara benar-benar meyakinkan.
Akhirnya bagi orang biasa setidak-tidaknya,
konsep ini akan dirumuskan sebagai sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Tuhan,
yang dikongsi diantara si bapa iaitu Tuhan yang tugasnya ialah memerintah dunia dari syurga,
anaknya Jesus yang tugasnya ialah menyelamatkan manusia di bumi dan Roh Kudus yang digambarkan sebagai seekor burung merpati dan seolah-olah mempunyai peranan yang agak kecil sahaja.

Saya ingat pernah berhasrat untuk menjadikan salah seorang dari mereka rakan karib saya agar dia boleh membantu menangani urusan saya dengan yang dua lagi,
dan untuk mencapainya, saya kadangkala berdoa dengan begitu bersungguh-sungguh kepada yang satu ini dan kadangkala kepada yang satu lagi,
tetapi yang dua lagi akan sentiasa mengganggu penumpuan saya.
Akhirnya saya membuat keputusan bahawa Tuhan yang menjadi bapa itulah yang sepatutnya berkuasa di atas dua lagi rakan kongsinya itu,
dan ini telah meletakkan halangan yang sangat besar dalam kepercayaan saya kepada agama Roman Katolik dan status ketuhanan Jesus.
Dan juga, fikiran secara logik memberikan kefahaman yang nyata bahawa keadaan semulajadi manusia adalah tidak sama atau bertentangan dengan keadaan semulajadi Tuhan di segala aspek, yang satu adalah terhad dan finit, manakala yang lagi satu adalah mutlak dan infinit.
Kepercayaan bahawa Jesus adalah Tuhan ialah sesuatu yang saya tidak dapat ingat pernah saya yakini dengan sebenar-benarnya,
sama ada di zaman kanak-kanak saya atau pun selepasnya.

Satu lagi perkara yang agak tidak munasabah ialah perdagangan gereja dalam saham bon di akhirat yang dipanggilnya "indulgence".
Dengan melakukan perbuatan tertentu,
hukuman anda akan dikurangkan sebanyak beberapa tahun yang tertentu,
konsep yang mana dianggap begitu palsu kepada Martin Luther dalam pergerakan Reformasinya.

Saya juga masih ingat keinginan untuk sebuah kitab yang suci,
sesuatu yang benar-benar boleh memberikan panduan dan tunjuk ajar.


Sebuah Bible telah dihadiahkan kepada saya pada satu hari Krismas.
Rupanya begitu menarik tetapi apabila saya membacanya,
ia begitu meleret-leret dan kekurangan pertalian yang teratur (koherens) sehingga adalah sukar untuk membayangkan yang seseorang itu boleh menjadikannya asas panduan kepada kehidupannya.
Hanya setelah saya dewasa baru saya tahu bagaimana penganut-penganut Kristian menyelesaikan masalah ini dalam amalan mereka sehari-hari,
penganut aliran Protestan menggunakan teologi sektarian,
setiap satunya menekankan teks rahsia milik mazhab mereka sendiri dan memperkecilkan teks mazhab yang lain,
penganut aliran Katolik pula mengenepikan kesemuanya melainkan coretan-coretan yang disebutkan dalam doa-doa mereka.
Sesuatu kekurangan kelihatan begitu ketara didalam sebuah buku yang suci yang tidak boleh dibaca sebagai satu buku yang bersepadu.

Tambahan lagi, apabila saya pergi ke universiti,
saya dapati bahawa kesahihan buku itu,
terutamanya "New Testament" menjadi satu pertanyaan berikutan kajian hemeneutik moden yang di lakukan oleh penganut Kristian sendiri.


Sewaktu mengikuti sebuah kursus mengenai teologi kontemporari,
saya telah membaca sebuah buku terjemahan Norman Perrin dari buku asal yang bertajuk
"The Problem of the Historical Jesus" yang di karang oleh Joachim Jeremias.


Dia merupakan salah satu ilmuwan New Testament yang terkemuka dikurun ini.
Seorang pengkritik teks yang merupakan pakar dalam bahasa-bahasa asal teks itu,
dia bersetuju untuk membuat kesimpulan yang sama dengan ahli teologi berbangsa Jerman bernama Rudolph Bultman bahawa tanpa syak lagi,
adalah betul untuk menyatakan bahawa impian untuk menulis sebuah biografi tentang Jesus tidak mungkin menjadi satu kenyataan,
bermakna bahawa kehidupan Jesus Christ sepertimana yang ditempuh olehnya dengan sebenar-benarnya tidak boleh didapati dengan kadar ketepatan yang paling minima sekalipun dari kitab New Testament.

Kalau komen seperti ini boleh datang dari seorang penganut kristian yang juga merupakan salah seorang pakar yang paling terkemuka dalam bahasa asal kitab pegangan penganut Kristian ini,
saya bertanya, apa lagi yang tinggal untuk diperkatakan oleh musuh-musuh Kristian terhadap kitab dan agama ini pula?

Dan apa lagi yang tinggal pada kitab Bible itu sendiri melainkan ia hanyalah sebuah catatan kebenaran yang bercampur dengan rekaan,
serta andaian-andaian ke atas Jesus yang di buat oleh pengikut-pengikut Jesus yang terkemudian,
yang masing-masing mereka saling bercanggah di antara satu sama lain tentang siapakah Tuhan yang terunggul sekali dan apakah ajaran yang telah disampaikannya.
Dan sekiranya ahli teologi seperti Jeremias sendiri tidak boleh meyakinkan diri mereka sendiri bahawa ada tersembunyi diantara lembaran-lembaran kitab New Testament itu kisah sejarah Jesus dan ajarannya yang sebenar,
bagaimana orang biasa boleh berharap akan menemuinya sama sekali,
atau mengetahui yang itulah yang sebenarnya sekiranya mereka menemuinya sekalipun?

Saya mempelajari falsafah di universiti dan ia mengajar saya untuk menanyakan dua perkara kepada sesiapa sahaja yang mendakwa dia memiliki kebenaran.
Apakah yang anda maksudkan dan bagaimanakah anda tahu bahawa ia adalah benar?
Apabila saya menanyakan soalan-soalan ini kepada tradisi agama saya sendiri,
saya tidak mendapatkan jawapannya,
dan sedarlah saya bahawa agama Kristian sudah terlucut dari pegangan saya.

Selepas itu, saya pun memulakan satu pencarian yang mungkin tidaklah begitu asing bagi kebanyakan anak muda di Amerika Syarikat,
satu pencarian didalam sebuah dunia yang tidak bermakna.
Saya bermula dimana saya telah kehilangan kepercayaan yang saya pegang selama ini,
iaitu dengan ahli-ahli falsafah, tetapi saya ingin mempercayai sesuatu.
Saya bukannya mencari falsafah, tetapi ingin berpegang kepada satu-satunya falsafah.
Saya pun membaca karangan seorang ahli pesimis Arthur Schopenhauer,
yang mengajarkan tentang fenomena usia dalam hidup,
dan bahawa wang, kemasyuran,
kekuatan fizikal dan kebijaksanaan semuanya akan berlalu dengan usia,
tetapi hanya keluhuran moral yang akan kekal.
Saya mengambil dan meyakini pengajaran ini dan terus mengingatinya dalam kehidupan saya seterusnya.
Karangannya juga mengenengahkan bahawa manusia lazimnya akan menyangkal di usia lanjutnya sesuatu yang dia pegang dengan bersungguh-sungguh pada zaman mudanya.

Dengan hasrat untuk mencari tuhan,
saya membuat keputusan untuk melengkapkan diri saya dengan segala hujah golongan aties yang saya boleh dapatkan.
Harapan saya ialah dengan melakukan sedemikian,
saya akan dapat mencari jalan keluar daripadanya.
Oleh itu, saya pun membaca karya Friedrich Nietzsche yang telah di terjemahkan oleh Walter Kaufmann.
Ahli genius dalam pelbagai aspek ini telah membantai tanggapan-tanggapan moral dan keyakinan manusia dengan hujah-hujah filologi (menurut ilmu kaji bahasa) dan psikologi yang berakhir dengan menyalahkan bahasa manusia itu sendiri,
dan juga bahasa sains khususnya pada kurun ke sembilan belas,
yang dikatakan begitu ditentukan dan dipengaruhi oleh konsep yang diwarisi dari bahasa moral yang mana dalam bentuknya yang sedia ada sekarang,
ia tidak akan dapat menjumpai kebenaran.

Selain nilai imulogi mereka yang bertentangan dengan kecurigaan atau keskeptikan mereka.
Hasil kerja Nietzsche menjelaskan mengapa dunia barat didominasi oleh agama Kristian dan dengan tepat meramalkan keganasan yang akan berlaku dikurun ke dua puluh yang tidak pernah berlaku sebelumnya,
sekaligus mendedahkan kesilapan mitos bahawa sains boleh berfungsi sebagai satu gantian moral untuk agama yang sekarang ini sudah mati.

Pada tahap peribadi, kecaman-kecamannya terhadap agama Kristian,
terutamanya dalam bukunya yang bertajuk "The Genealogy of Moral" telah memberikan saya keupayaan untuk menyuling atau memecahkan kepercayaan tradisi bahawa Tuhan adalah satu kepada beberapa bentuk yang boleh dianalisa.


Dia memisahkan konsep-konsep yang tidak penting (seperti kehebatan pelik yang dipaparkan dalam peristiwa seorang tuhan yang membunuh dirinya di tiang salib) dari konsep yang penting,
yang mana sekarang ini,
saya, walaupun tidak meyakininya, merumuskan bahawa hanya ada tiga sahaja;
bahawa Tuhan itu wujud; bahawa Dia yang menciptakan manusia di dunia dan menjelaskan bagaimana kelakuan mereka yang sepatutnya di dunia ini dan bahawa Dia akan menghakimi manusia di akhirat nanti menurut perilaku mereka di dunia ini dan akan mengganjarkan atau menghukum mereka untuk selama-lamanya.


Pada waktu inilah saya mula membaca terjemahan Al Quran yang saya terpaksa akui bahawa saya mengaguminya, di celah-celah reservasi agnostik ( tidak meyakini Tuhan) saya,
kerana ketulinannya dalam memaparkan konsep-konsep yang penting ini.
Sekiranya pun ia tidak benar, fikir saya,
tidak akan ada pernyataan agama yang lebih penting daripadanya.
Sebagai sebuah karya sastera,
terjemahannya tidak begitu menarik dan agak kasar terhadap subjeknya,
sedangkan saya tahu bahawa bahasa Arab dalam teks asalnya itu dikenali meluas untuk keindahan dan kefasihannya di antara kitab-kitab agama manusia yang terdapat di dunia ini.
Timbul keinginan saya untuk mempelajari bahasa Arab agar saya boleh membaca Al Quran dalam bahasa asalnya.


Sewaktu musim cuti dari sekolah,
saya sedang berjalan di sebatang jalan yang kotor di antara ladang-ladang gandum,
dan pada waktu itulah matahari terbenam.
Dengan suatu ilham,
saya sedar itu ialah masa untuk menyembah Tuhan,
masa untuk tunduk dan menyembah Tuhan yang satu.
Tetapi ia bukan sesuatu yang seseorang itu boleh jelaskan dengan terperinci,
tetapi ia lebih merupakan sekilas khayalan,
atau juga permulaan kepada sebuah kesedaran bahawa kepercayaan ateisme ialah sesuatu yang tidak tulin.

Saya membawa bersama perasaan ini apabila saya bertukar ke Universiti Chicago,
di mana saya mempelajari epistemologi teori yang beretika,
bagaimana keputusan moral dibuat,
membaca dan mencari-cari sesuatu dari buku-buku yang di tulis oleh ahli-ahli falsafah,
yang boleh memberikan sedikit penjelasan tentang persoalan ketidakmaknaan,
yang merupakan satu kebimbangan peribadi dan masalah falsafah utama di zaman kita.

Menurut sesetengah pihak, pemerhatian saintifik hanya boleh memberikan kenyataan-kenyataan yang menerangkan bahawa bentuk X ialah Y,
contohnya; Sesuatu objek itu berwarna merah, beratnya ialah dua kilogram,
tingginya ialah sepuluh sentimeter, dan lain-lain lagi.
Dalam setiap satu, unsurnya yang berfungsi ialah "kepatutan",
ia satu kenyataan yang memberikan penerangan yang tidak boleh diukur atau disahkan oleh apa juga pemerhatian saintifik.
"kepatutan" itu seolah-olah sesuatu yang tidak bermakna secara logik,
dan demikian juga sebarang bentuk moral - suatu kedudukan yang mengingatkan saya tentang nasihat yang diberikan oleh Lucian bahawa sesiapa yang melihat seorang ahli falsafah moral berjalan menuruni sebatang jalan,
dia harus lari daripadanya sepertimana dia lari dari seekor anjing gila.
Untuk orang seperti itu, "kesesuaian"lah yang menjadi faktor penentu,
dan tidak ada apa yang dapat memeriksa kelakuannya melainkan adat kebiasaan.


Oleh kerana Chicago ialah Universiti yang memakan belanja yang lebih besar,
dan saya terpaksa mencari wang sampingan untuk kelas tuisyen saya,
saya pun mencari pekerjaan sementara di Pantai Barat sewaktu cuti musim panas;
iaitu di atas sebuah bot menangkap ikan di Alaska.
Laut itu sendiri merupakan sebuah sekolah yang tersendiri.


Pertamanya saya kena berulang ke sana sebanyak lapan kali untuk sebanyak lapan musim kerana ingin mendapatkan wang upahnya.


Saya menemui ramai orang yang bekerja di atas bot,
dan saya dapat melihat begitu kuat dan hebatnya angin, air, ribut dan hujan serta kerdilnya manusia.
Semua benda-benda ini terbentang dihadapan kami seperti sebuah buku yang besar,
tetapi rakan-rakan nelayan saya hanya mengenali huruf-huruf buku itu yang terdapat dalam konteks kami;
untuk menangkap seberapa banyak ikan yang kami boleh dalam masa yang di tentukan untuk dijualkan mengikut tender-tender yang sudah ada.
Hanya sedikit yang tahu membaca buku itu secara keseluruhan.
Kadangkala, hanya dengan satu tiupan angin,
ombak laut akan menggulung seperti bukit bukau sehingga kelihatan tulang-tulang jarinya yang putih,
dan sauh kami akan dibenamkan jauh kedalam lembah air laut yang hijau,
bot kami pada satu saat menjunam kebawah dan pada saat yang lain pula menjulang naik kearah langit sebelum tiba kepuncak ombak yang berikutnya,
untuk menjunam ke bawah semula.

Pada awal karier saya sebagai pembantu dek,
saya telah pun membaca karya Jean Paul Sartre "Being and Nothingness" yang telah di terjemahkan oleh Hazel Barnes.


Di dalam buku ini, dia berhujah bahawa satu-satunya fenomena itu timbul hanya untuk kesedaran dalam konteks projek manusia yang sedia wujud,
sebuah tema yang mengingatkan kepada manuskrip Marxs pada tahun 1844,
dimana alam semulajadi dihasilkan oleh manusia, bermakna,
contohnya, kesedaranannya akan melihat pokok-pokok itu sebagai satu objek fenomena yang sangat berlainan daripada seorang penyajak,
contohnya, atau pun seorang kapitalis.
Kepada ahli mistik itu, ia adalah satu manifestasi,
kepada penyajak itu, ia sebuah hutan,
dan kepada seorang kapitalis, ia adalah balak.

Menurut perspektif yang sebegini,
sebuah gunung hanya kelihatan setinggi itu dalam konteks projek pendakiannya,
dan begitulah seterusnya,
menurut hubungan instrumental yang terlibat dalam pelbagai kepentingan manusia,
tetapi peristiwa-peristiwa semulajadi yang besar yang berlaku dilaut yang mengelilingi kita seolah-olah membantah dengan degil,
segala usaha kami untuk berdamai dengan mereka.


Tiba-tiba, kami berada di sana,
digugat oleh segala kuasa disekeliling kami tanpa memahami maksud mereka,
tertanya-tanya apakah kami akan melepasinya ataupun tidak.
Setengahnya, ada yang meminta pertolongan Tuhan pada waktu-waktu kecemasan seperti itu,
tetapi apabila mereka kembali dengan selamat ke pantai,
mereka akan berlagak seolah-olah mereka tidak mengetahui tentangnya melainkan sedikit,
seolah-olah waktu-waktu kecemasan yang telah dilalui itu hanya merupakan saat ketidak sedaran  yang ditempuhi seseorang,
sehingga ia adalah sesuatu yang memalukan untuk di kenang berbanding dengan waktu-waktu yang lebih menggembirakan.


Ia salah satu dari pengajaran yang didapati dari laut.
Peristiwa sedemikian bukan sahaja benar-benar berlaku malah mungkin telah memenuhi sebahagian besar dari hidup kita.
Manusia adalah kecil dan lemah, kuasa-kuasa di sekitarnya adalah besar,
dan manusia tidak menguasai mereka.


Kadangkala, sebuah bot akan karam dan manusia akan mati.
Saya ingat seorang nelayan dari sebuah bot yang lain yang bekerja berhampiran kami,
melakukan kerja-kerja yang sama dengan saya, iaitu memasang jaringan.
Dia memberikan senyuman kepada saya sambil dia menarik jaringan itu dari blok hidraulik di atas,
menyusunnya dengan kemas disebelah belakang bot,
bersiap sedia untuk menebarnya untuk kali yang berikutnya.
Beberapa minggu kemudian,
botnya telah terbalik didalam hujan ribut sewaktu dia sedang menangkap ikan,
dan dia terperangkap didalam jaringnya sendiri lantas mati lemas,
saya hanya melihatnya sekali lagi, iaitu di dalam mimpi saya,
melambai-lambaikan tangannya kepada saya dari bahagian belakang botnya itu.


Kehebatan pemandangan-pemandangan alam semulajadi yang di dalamnyalah kita hidup,
hujan ribut, tebing-tebing yang curam yang muncul tegak dari laut sehingga beberapa kaki tingginya, kesejukan, keletihan, kecederaan yang kadangkala berlaku serta juga kematian pekerja-pekerja tidak banyak meninggalkan kesan kepada sebahagian dari kita.
Bukankah nelayan patut menjadi orang-orang yang gagah?


Di sebuah bot, keluarga yang mengendalikan bot itu dikatakan telah kehilangan seorang pekerja sambilan mereka sewaktu bot itu pergi menangkap ikan di hujung musim.
Dialah satu-satunya pekerja yang tidak mempunyai keluarga yang bekerja dengan mereka.
Kematiannya di anggap sebagai dapat menjimatkan mereka kos gaji yang terpaksa mereka bayar kepadanya seandainya dia masih hidup.


Kapten kepada sebuah bot yang lain ialah seorang pemuda berusia dua puluh tujuh tahun dan menghasilkan tangkapan ketam bernilai berjuta-juta dolar setahun di laut Bering.
Apabila saya mula-mula mendengar mengenainya, kami berada di Kodiak.
Botnya sedang terikat ke dok kami di pelabuhan bandar selepas beberapa hari menangkap ikan di laut.
Pada waktu itu, kapten itu sedang terbaring dalam keadaan yang tidak bermaya di atas katil yang terletak dalam bilik utama di dalam botnya itu.
Sudah semalaman dia memuntahkan darah kerana pada malam sebelumnya,
dia telah menelan kaca pecahan gelas untuk membuktikan betapa kuatnya dia.

Dia berada dalam keadaan lebih baik apabila saya menemuinya di laut Bering beberapa lama kemudian, iaitu di hujung musim sejuk.
Dia bekerja di dalam bilik pengawal roda kemudi yang terletak di bahagian paling atas bot,
di kelilingi oleh radio yang boleh menerima signal dari hampir mana-mana sahaja, komputer, loran, Sonar, alat pencari kedalaman dan radar.
Panel lampu dan suisnya diletakkan di bawah tingkap yang tidak boleh hancur yang menghadap ke laut dan juga yang membolehkannya melihat pekerja-pekerjanya di dek bawah,
yang mana perhubungannya diantara mereka ialah dengan menggunakan sebuah alat pembesar suara.


Mereka sering bekerja dua puluh empat jam,
menarik alat-alat mereka ke atas dari air laut yang sejuk di bawah sinaran lampu berkuasa tinggi, yang dipasangkan kepada tiang-tiang bot,
yang membuatkan malam yang gelap pekat di musim sejuk ibarat siang.
Kapten itu mempunyai reputasi seorang yang kuat menjerit,
dan pernah sekali mengunci seorang pekerjanya diluar geladak selama sebelas jam kerana salah seorang dari mereka telah pergi minum kopi tanpa meminta izin.
Hanya sedikit di antara pekerja-pekerjanya yang sanggup bertahan lebih dari satu musim bekerja dibawahnya, walaupun mereka boleh mendapatkan hampir dua kali ganda pendapatan setahun seorang peguam atau eksekutif pengiklanan dalam masa hanya enam bulan.
Kemewahan boleh dimiliki dari laut Bering pada waktu itu,
iaitu sebelum kegiatan menangkap ketam yang berlebihan menyebabkan pelupusan ketam di laut itu.

Pada waktu ini, kapten itu tidak ke laut,
dan dia cukup berbaik hati hendak naik ke bot kami apabila kami mengikat bot kami kepada botnya.
Dia datang untuk berbual-bual dengan kapten kami.
Mereka berbual lama,
kadang kala merenung kearah laut sambil memikirkan sesuatu sama ada menerusi tingkap atau pintu. kadang kala pula mereka melihat muka mereka sesama sendiri dengan tajam apabila timbul suatu persoalan yang serius,
iaitu apabila topik itu ialah apa yang pesaing-pesaingnya fikirkan tentang dirinya.
"Mereka hairan bagaimana saya boleh dapat duit yang banyak," katanya.
"Pada tahun lepas saya hanya tertidur di rumah saya.

Kemudian, dia mengarahkan pekerjanya supaya menaikkan sauh,
matanya mengerling dengan penuh waspada ke arah permuakaan air dari tingkap rumah bot sambil dia mengemudi botnya keluar dengan melepaskan kepulan asap hitam dari corongnya.
Sifat kewaspadaannya, bentuk badannya yang sasa,
pelayaran-pelayarannya yang tidak henti-henti untuk mengejar tangkapan dan pasaran, mengingatkan saya kepada binatang-binatang pemangsa yang terdapat di laut.
Orang-orang begini, yang sangat pandai membuat duit tetapi yang tidak mempunyai apa matlamat atau tujuan yang jelas, telah meninggalkan kesan ke atas diri saya.

Saya menjadi semakin tertanya-tanya apakah manusia tidak memerlukan prinsip-prinsip untuk memandu mereka dan memberitahu mereka mengapa mereka berada di situ.
Tanpa prinsip-prinsip itu, tiada apa-apa yang membezakan kita daripada mangsa kita melainkan kita ini lebih berkelengkapan dan lebih berkemampuan untuk memburu dengan lebih lama,
pada skala yang lebih besar, dan menurut kaedah yang lebih banyak mendatangkan kerosakan daripada binatang-binatang yang kita buru itu.

Pertimbangan-pertimbangan ini bermain difikiran saya pada tahun kedua saya belajar di Chicago,
di mana saya mendapat kesedaran menerusi kajian sistem-sistem moral yang berfalsafah bahawa falsafah telah gagal pada waktu lepas untuk mempengaruhi moral manusia dan mengelak ketidak adilan secara berkesan.
Dan saya semakin sedar bahawa harapan untuknya melakukan sedemikian juga adalah nipis di masa akan datang.

Saya dapati dengan membandingkan sistem budaya dan masyarakat manusia dalam turutan sejarah dan keberbilangan mereka telah membawa ramai intelek kepada falsafah relativisme moral,
memandangkan tiada nilai moral yang boleh dikenal pasti sah menurut ukuran budaya kerana kewajarannya sendiri.
Ia satu bayangan yang membawa kepada nihilisme,
iaitu sejenis perspektif yang melihat tamadun manusia sebagai tumbuh-tumbuhan yang tumbuh dari bumi, berputik dari biji benih dan tanah-tanih masing-masing,
hidup subur untuk beberapa waktu dan kemudian mati.

Setengah orang mengungkapkan ini sebagai pembebasan intelektual,
antara mereka ialah Sigmund Freud dalam bukunya yang bertajuk "Totem and Taboo",
yang membincangkan tentang manusia seolah-oleh mereka ialah pesakit-pesakit dan mendiagnos tradisi agama mereka sebagai satu bentuk neurosis (kebimbangan) yang kolektif yang sekarang ini boleh kita harapkan untuk dirawat, dengan melakukan atiesme saintifik menerusi mereka,
iaitu satu bentuk penyelamatan menerusi sains tulin.

Menyentuh subjek yang sama juga,
saya ada membeli buku karangan Jurgen Habermas bertajuk "Knowledge and Human Interests",
yang di terjemahkan oleh Jeremy Shapiro.


Hujahnya mengatakan bahawa tidak ada sesuatu benda seperti sains tulin yang boleh dijadikan sandaran untuk menempah proses pembaikan dengan berjaya sama ada dengan dirinya sendiri ataupun dunia.
Dia memanggil silap faham seperti ini "saintisme" dan bukan sains.

Sains dalam dunia sebenarnya, katanya, tidaklah bebas dari nilai, lebih-lebih lagi dari kepentingan.
Jenis-jenis kajian yang memperolehi kewangan, contohnya, merupakan satu fungsi kepada apa yang dianggap oleh masyarakat sebagai bermakna, sesuai, menguntungkan atau penting.
Habermas datang dari sebuah generasi para akademik Jerman yang,
sewaktu dalam lingkungan usia ke tiga puluh ke empat puluh tahun,
tahu apa sedang berlaku di dalam negara mereka,
tetapi mendakwa bahawa mereka cuma terlibat dalam menghasilkan bahan intelek,
bahawa mereka sedang hidup dibawah naungan biasiswa,
dan tidak perlu menyusahkan diri dengan apa juga tindakan yang mungkin di buat oleh pihak kerajaan terhadap kajian mereka.


Tanda tanya yang dasyat yang diberikan kepada para intelek Jerman apabila kekejaman Nazi diketahui umum selepas peperangan membuatkan Habermas berfikir dengan mendalam tentang ideologi sains tulin.
Jika ada apa-apa kesan yang ketara ia adalah hilangnya keghairahan pemikir kurun ke sembilan belas seperti Freud dan Durkheim.

Saya mula menilai semula kehidupan intelek yang wujud di sekeliling saya.
Sepertimana Schopenhauer, saya merasakan bahawa pendidikan yang lebih baik seharusnya menghasilkan manusia yang lebih baik.
Tetapi di unversiti, saya dapati orang-orang di dalam makmal bercakap sesama sendiri bagaimana hendak memalsukan maklumat kajian untuk mendapatkan sedikit sumber kewangan bagi mereka untuk tahun akan datang, pensyarah-pensyarah terkenal yang tidak mahu membenarkan syarahan mereka di rakam kerana bimbang pesaing-pesaing mereka dalam bidang yang sama akan dapat mendahului mereka di dalam kajian yang mereka juga lakukan dan lantas mengalahkan mereka dengan lebih awal menerbitkan hasil kajian tersebut, dan juga profesor-profesor yang bersaing di antara satu sama lain di sepanjang kursus yang mereka kendalikan.

Kualiti moral yang sudah biasa saya kaitkan dengan manusia bertaraf biasa dan yang tidak mengambil pusing untuk mengubah tingkah laku mereka,
contohnya para nelayan, juga sering wujud dikalangan ahli akademik.
Sekiranya seseorang itu boleh ketawa melihat seorang nelayan,
yang selepas memenuhkan kapalnya dengan hasil tangkapan yang banyak,
belayar ke sana ke mari di hadapan yang lain untuk menunjukkan kepada mereka hasil tangkapan ikan, berpura-pura hendak mencari lebih banyak lagi,
apa yang hendak di perkatakan tentang seorang doktor falsafah yang berkelakuan dengan kelakuan yang sama terhadap buku-buku dan artikel tulisan mereka?
Saya merasakan bahawa ilmu pengetahuan yang mereka miliki tidak dapat membentuk insaniah mereka, iaitu rahsia untuk menjadi seorang manusia yang lebih baik tidak terletak kepada kecanggihan mereka.

Saya tertanya-tanya sekiranya saya tidak pernah mendalami ilmu falsafah sebagaimana yang telah saya lakukan.
Walaupun ia telah memusnahkan pegangan agama Kristian saya dan memberikan beberapa pandangan yang tulin, ia masih belum lagi boleh memberikan jawapan kepada soalan-soalan yang besar.
Tambahan lagi, saya merasakan bahawa ia sedikit sebanyak berkaitan,
saya tidak tahu sama ada sebagai satu sebab atau akibat,
kepada hakikat bahawa tradisi intelek kita kelihatannya sudah tidak memahami lagi dirinya sendiri secara serius.
Apakah kita ini semua hanya memainkan peranan kita dengan begitu bersungguh-sungguh,
sama ada kita ini seorang ahli falsafah, nelayan, pengutip sampah, atau raja,
melainkan pelakon kecilan di dalam drama yang  kita sendiri tidak faham,
sehinggalah pengganti-pengganti kita di hantar dan kita pun memberikan persembahan kita yang terakhir?
Atau bolehkah seseorang itu meminta sesuatu yang lebih dari ini secara sah?


Saya ada membaca buku karangan Kojeve "Introduction to the Reading of Hegel",
yang menerangkan bahawa untuk Hegel,
falsafah tidak berakhir dalam sistemnya,
tetapi dengan peribadi "seorang yang bijak" (the Wise Man),
iaitu ia berakhir pada diri seseorang yang boleh menjawab apa-apa persoalan yang mungkin berkaitan dengan implikasi etika sesuatu tindakan manusia.
Ini membuatkan saya memikirkan tentang penderitaan yang kita hadapi di kurun ke dua puluh ini, yang mana ia tidak boleh lagi menjawab sebarang soalan etika.

Seolah-olah kepakaran yang tiada tandingan dalam perkara-perkara konkrit yang wujud didalam kurun ini berakhir dengan menjadikan kita barang-barang.
Saya membezakan ini dengan konsep Hegels tentang perkara yang konkrit yang disebutkannya di dalam karyanya yang bertajuk "Phenomenology of Mind".


Satu contoh perkara yang abstrak, menurutnya, ialah hakikat terhadnya buku yang kita sedang pegang di tangan kita secara fizikal, manakala contoh perkara yang konkrit ialah keterhubungannya dengan realiti yang lebih besar dari yang ia jangkakan,
seperti kaedah penerbitannya yang menentukan jenis dakwat dan kertas yang di gunakan di dalamnya, standard estetik yang menentukan warna dan coraknya,
sistem pemasaran dan pengedarannya yang telah membawanya kepada pembacanya,
suasana sejarah yang telah membentuk kebolehan membaca serta cita rasa pembaca,
kejadian-kejadian budaya yang telah di pengaruhi gaya dan penggunaannya;
atau dalam lain perkataan,
itulah gambar yang lebih besar yang di dalamnyalah ia di hasilkan dan wujud.

Untuk Hegel, pergerakan falsafah sering membawa dari abstrak kepada konkrit,
dan kepada yang lebih nyata.
Oleh itu, dia boleh mengatakan bahawa falsafah pasti akan membawa kepada teologi,
yang objeknya begitu nyata iaitu Tuhan.
Ini seolah-olah menunjukkan kepada saya kepada kekurangan yang tidak boleh di atasi di dalam kurun ini.
Saya mula tertanya-tanya sekiranya,
apakah dengan mewujudkan semula budaya dan zaman silam kita,
kita mungkin masih dapat mengekalkan diri dalam kemanusiaan yang lebih luas,
dalam fitrah kita yang sebenarnya iaitu dalam hubungannya dengan kebenaran yang lebih tinggi.

Pada peringkat ini, saya mula membaca karya-karya mengenai Islam,
antaranya ialah buku-buku yang di tulis oleh Sayid Hossein Nasr,
yang meyakini bahawa kebanyakan masalah yang di hadapi oleh orang Barat,
terutamanya berkenaan alam sekitar,
adalah kerana mereka telah meninggalkan kebijaksanaan agung sebuah agama yang di wahyukan, yang mengajarnya tentang kedudukan sebenarnya sebagai makhluk yang di ciptakan Tuhan di dalam dunia yang semulajadi ini dan untuk memahami dan menghormatinya.
Tanpanya, dia akan membakar dan menggunakan alam semulajadi dengan kaedah-kaedah teknologi yang lebih efektif daripada yang pernah wujud sebelumnya bagi tujuan ekspoitasi komersial yang menjahanamkan dunia ini dari luar sementara dia pula akan semakin kekosongan di dalam jiwanya, kerana dia tidak tahu mengapa dia wujud atau ke arah manakah segala tindak tanduknya patut dihalakan.

Saya memikirkan perkara ini bahawa ia mungkin benar,
tetapi ia melibatkan persoalan kebenaran sebuah agama yang di wahyukan.
Segala-gala yang wujud di atas muka bumi ini,
semua sistem moral dan agama, adalah di atas pelantar yang sama,
melainkan seseorang itu boleh mendapat kepastian bahawa salah satu dari mereka itu berpunca dari satu sumber yang lebih tinggi, yang merupakan satu-satunya jaminan akan objektif dan keseluruhan kekuatan undang-undang moral.
Kalau tidak, pendapat seorang itu adalah setaraf dengan pendapat seorang yang lain,
dan kita tetap berada di dalam lautan kepentingan individu yang saling bercanggah dan yang tidak ada bezanya di antara satu sama lain,
yang mana tidak ada hujah yang sah yang boleh diutarakan bagi membolehkan yang kuat menghapuskan yang lemah.

Saya juga membaca buku-buku lain mengenai Islam,
dan terbaca beberapa bab dari buku yang bertajuk "That Which Delivers from Error",
yang telah dikarang oleh Imam Al Ghazali dan telah di terjemahkan oleh W. Montgomery.
Imam Ghazali setelah menempuh pelbagai krisis persoalan dan keraguan,
menyedari bahawa selain dari cahaya wahyu yang di sampaikan oleh rasul,
tidak ada cahaya lain di dunia ini yang boleh memberikan apa-apa panduan,
dan inilah titik di mana terkumpulnya segala persoalan falsafah saya.
Di sinilah menurut Hegels, peribadi "orang yang bijak" (the Wise Man) yang hanya di miliki oleh seorang utusan yang di utus Tuhan yang memiliki jawapan kepada persoalan baik dan buruk.

Saya juga membaca terjemahan Al Quran oleh A.J Arberrys "The Koran Interpreted",
dan ini mengingatkan saya akan keinginan saya sewaktu kecil untuk memiliki sebuah kitab suci.
Walau sekadar terjemahan, kelebihan kitab suci orang islam ini berbanding kitab Bible ternyata jelas pada setiap baris, seolah-olah kebenaran wahyu Tuhan,
yang selama ini begitu kabur untuk saya, kini telah di letakkan di hadapan mata saya.
Dengan gayanya yang begitu tinggi, kuasanya, kemuktamadannya yang tidak dapat di sekat,
caranya yang begitu luar biasa dalam menjangkakan lebih dahulu hujah-hujah yang akan di timbulkan oleh hati yang tidak mempercayai tuhan serta menjawab kesemuanya;
ia merupakan satu pendedahan yang jelas bahawa Tuhan adalah Tuhan dan manusia adalah manusia, dan wahyu mengenai perpaduan agung yang mengagumkan dan meransang itu adalah sama dengan wahyu keadilan sosial dan ekonomi di kalangan manusia.

Saya mula mempelajari bahasa Arab di Chicago,
dan selepas mempelajari nahunya selama setahun dengan agak berjaya,
saya membuat keputusan untuk bercuti selama setahun supaya saya boleh melanjutkan pengajian saya ini di Cairo, Mesir.


Dan bukan itu saja, keinginan untuk mendapatkan pengalaman  dan pengetahuan yang baru juga sangat menarik minat saya, dan selepas bekerja di bot menangkap ikan buat kali yang ketiganya, saya pun pergi ke Timur Tengah.


Di Mesir, saya telah menemui sesuatu yang saya percaya dapat membawa orang kepada Islam,
iaitu, tanda monoteisme (mempercayai Tuhan yang satu) yang tulin dikalangan penganut-penganut Islam, yang begitu meninggalkan kesan pada hati saya lebih dari segala-galanya yang pernah saya alami dan temui sebelum ini.
Saya telah menemui ramai Muslim di Mesir, ada yang baik dan ada yang kurang baik,
tetapi mereka semua jelas dipengaruhi oleh ajaran dari kitab mereka pada tahap yang lebih tinggi dari apa yang pernah saya lihat dimana-mana.
Sudah lebih kurang lima belas tahun sejak waktu itu,
dan saya tidak boleh mengingati kesemua mereka,
atau kebanyakan dari mereka, tetapi mungkin beberapa orang yang saya ingat ini dapat menggambarkan kesan yang telah ditinggalkan di hati saya.

Seorang daripada mereka ialah seorang lelaki di tebing sungai Nil berhampiran dengan Taman Miqyas, tempat di mana saya selalu bersiar-siar.
Saya menemuinya sedang bersembahyang di atas sekeping kadbod,
mengadap ke arah seberang sungai itu.
Saya mula bergerak untuk berjalan di hadapannya,
tetapi saya rasa agak kurang sopan, lalu saya pun berpatah untuk berjalan di belakangnya,
tidak mahu mengganggunya.
Sambil saya berjalan pergi dan memerhatikannya,
saya dapat melihat seorang lelaki yang begitu kyusuk dalam hubungannya dengan Tuhan,
tidak menyedari akan kehadiran saya, apalagi mengenai dirinya.
Dalam fikiran saya, wujudnya sesuatu yang benar-benar terasing pada amalan ini,
sesuatu yang benar-benar pelik bagi seorang yang datang dari Barat,
di mana bersembahyang di khalayak umum itulah satu-satunya perbuatan yang masih di anggap tidak sopan.

Satu lagi ialah seorang budak lelaki dari sebuah sekolah menengah yang menyapa saya berhampiran dengan Khan al-Khalili, dan oleh kerana saya sedikit sebanyak boleh bercakap dalam bahasa Arab dan dia pula sedikit sebanyak boleh bercakap dalam bahasa Inggeris dan mahu memberitahu saya tentang Islam, dia pun berjalan dengan saya sejauh beberapa batu merentasi bandar ke Giza, menerangkan seberapa banyak yang dia boleh kepada saya.
Apabila kami berpisah,
saya rasa dia ada membacakan sepotong doa agar saya akan menjadi seorang Muslim.

Satu lagi ialah seorang rakan saya yang berbangsa Yaman yang tinggal di Cairo yang membelikan saya senaskah Al-Quran di atas permintaan saya sendiri agar ia boleh membantu saya mempelajari Bahasa Arab.
Saya tidak mempunyai sebuah meja di sebelah kerusi yang selalu saya gunakan untuk membaca di dalam bilik hotel saya,
dan sudah merupakan kebiasaan saya untuk melambakkan buku-buku saya di atas lantai.
Apabila saya meletakkan kitab Al-Quran itu di kalangan buku-buku saya yang lain di atas lantai, dengan senyap-senyap dia tunduk dan mengambilnya kerana hormat kepada kitab itu.
Perbuatannya itu mengagumkan saya kerana saya tahu dia bukanlah seorang Islam yang kuat beramal, tetapi itulah kesan agama Islam ke atasnya.

Satu lagi ialah seorang wanita yang saya temui sewaktu saya sedang berjalan-jalan di atas sebuah jalan yang tidak bertar, bertentangan dengan tebing Sungai Nil dari Luxor.
Saya berada dalam keadaan berhabuk, dan memakai pakaian yang agak lusuh,
dan dia adalah seorang wanita tua yang berpakaian serba hitam dari hujung kepala ke hujung kaki yang berjalan ke arah saya.
Tanpa mengeluarkan sepatah perkataan atau memandang muka saya,
dia meletakkan sekeping duit syiling di dalam tapak tangan saya dengan begitu cepat sehingga duit itu terjatuh kerana saya agak terkejut dengan perbuatannya itu.
Setelah saya mengutip duit syiling itu, saya dapati bahawa wanita tua itu sudah bergegas pergi.
Oleh kerana dia menyangkakan yang saya ini seorang yang miskin,
walaupun jelas saya bukan seorang islam,
dia tetap memberikan saya sedikit wang tanpa mengharapkan apa-apa balasan melainkan di antara dia dan Tuhannya.
Perbuatannya ini membuatkan saya berfikir banyak tentang islam,
kerana tidak ada apa-apa selain agamanya itulah yang telah mendorongnya berbuat sedemikian.

Banyak lagi perkara yang terlintas di dalam fikiran saya sewaktu saya tinggal di Mesir selama beberapa bulan untuk mempelajari bahasa Arab.
Saya dapati diri saya berfikir bahawa seorang manusia itu harus mempunyai sejenis agama untuk dijadikan pegangan.
Dan saya lebih kagum dengan kesan Islam ke atas kehidupan pengikut-pengikutnya,
kebangsawanan tujuan hidup dan kedermawahan hati,
daripada kesan lain-lain agama ke atas pengikut mereka,
termasuk juga kesan ateisme ke atas pengikutnya.
Orang Islam nampaknya lebih dari apa yang kita semua miliki.

Agama Kristian juga pasti ada baiknya,
tetapi mereka agak bercampur-aduk dengan kekeliruan,
dan saya dapati diri saya semakin lama semakin cenderung untuk merujuk kepada Islam bagi mendapatkan ekspresi (agama Kristian) yang paling sempurna dan lengkap.
Persoalan pertama yang kita hafal sejak kecil lagi ialah "mengapakah kamu diciptakan?"
yang mana jawapannya yang tepat ialah "untuk mengetahui, menyintai dan menyembah Tuhan."
Apabila saya melihat orang-orang di sekeliling saya,
saya sedar bahawa Islamlah yang kelihatannya dapat memberikan cara untuk mengamalkannya secara harian dengan paling lengkap dan mudah difahami.

Berkenaan kedudukan politik umat Islam yang agak menyedihkan hari ini,
saya tidak merasakan yang ia adalah sesuatu yang mengaibkan agama Islam itu sendiri,
atau sesuatu yang menurunkan kedudukannya dalam susunan ideologi dunia,
tetapi melihatnya sebagai fasa yang malap di dalam putaran sejarah yang lebih besar lagi.
Penguasaan asing ke atas dunia Islam pernah disaksikan sebelum ini sewaktu kemusnahan habis-habisan yang di lakukan oleh askar Monggol pada kurun yang ke tiga belas.
Mereka telah membakar bandar-bandar dan membina piramid dari tengkorak manusia dari kawasan padang rumput di Asia tengah hingga ke pusat dunia orang Islam, yang mana selepas itu,
sebuah matlamat yang di buru dengan sebulat hati telah membolehkan empayar Uthmaniah menegakkan kalimah Allah dan menjadikannya satu realiti politik yang bertenaga yang dapat bertahan untuk beberapa kurun.
Kini, pada telahan saya, merupakan giliran umat Islam kontemporari untuk berjuang bagi mencapai zaman baru kegemilangan Islam yang bersejarah,
sesuatu yang wajar bagi seseorang itu untuk di tanamkan hasrat pengambilan bahagian di dalamnya.

Apabila rakan saya di Cairo pada satu hari menanyakan saya,
"Mengapa anda tidak menjadi seorang Islam,"
saya dapati bahawa Allah telah menciptakan di dalam diri saya keinginan untuk menjadi sebahagian daripada agama ini, yang sangat memberikan pengisian kepada pengikut-pengikutnya,
dari hati yang paling sederhana kepada intelek yang paling berkuasa.
Ia bukannya menerusi pemikiran atau kehendak hati seseorang yang dia akan menjadi Muslim,
tetapi sebenarnya ia berlaku dengan rahmat Allah,
dan inilah, dalam analisis yang terakhir, yang membawa saya kepada Islam di Cairo pada tahun 1977.


"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman,
untuk tunduk hati mereka mengingati Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka),
dan janganlah mereka seperti orang-orang sebelumnya telah diturunkan Al-Kitab kepadanya,
kemudiaan berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras.
Dan kebanyakan di antara mereka ialah orang-orang yang fasik.
Ketahuilah olehmu bahawa sesungguhnya Allah menghidupkan bumi sesudah matinya.
Sesungguhnya kami telah menjelaskan kepadamu tanda-tanda kebesaran (kami) supaya kamu memikirkannya."
* Quran - Surah Al Hadid - ayat : 16 - 17 *

Nuh Ha Mim Keller Bersama Hamza Yusuf
Nota : Nuh Ha Mim Keller ialah penterjemah kepada buku "The Reliance of the Traveler" oleh Ahmad Ibn Naqib al - Misrri.

PENCIPTAAN LANGIT DAN BUMI 6 HARI ATAU 8 HARI?

  #CreationofHeavenandEarth PENCIPTAAN LANGIT DAN BUMI 6 HARI ATAU 8 HARI? Katakanlah: "Sesungguhnya patutkah kamu kafir kepada Yang me...