Di sebuah lereng bukit,
terletak sebuah perkampungan yang dinamakan Kampung Permai Sentosa.
Penduduk kampung ini sentiasa hidup dalam keadaan aman dan damai.
Di hujung kampung tersebut, di kawasan tanah tinggi,
tinggal seorang lelaki tua yang bernama Pak Ali
Pak Ali tinggal berseorangan di rumah yang besar dan indah itu sejak kematian isterinya 7 tahun yang lalu.

Pak Ali sangat terkenal dengan kebaikan dan kebijaksanaannya.
Beliau dikatakan mempunyai pengetahuan yang amat luas mengenai apa sahaja.
Beliau mahir bertutur dalam 9 bahasa,
pernah menjelajah hampir keseluruh dunia dan sangat disegani oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya.
Satu perkara yang membuat Pak Ali dikagumi oleh semua orang ialah,
beliau tidak pernah salah dalam menjawab apa apa jenis soalan.
Beliau tahu menjawab semua soalan berkenaan falsafah,
sains, matematik, politik mahupun mengenai perkara perkara yang tidak terdaya difikirkan oleh akal.
Ramai penduduk kampung yang telah mencuba untuk menyoal Pak Ali dengan soalan yang paling susah.
Namun, Pak Ali tetap dapat menjawab soalan tersebut dengan mudah dan betul.
Pada suatu hari, kelihatan seorang remaja sedang berlari lari ke arah kawasan kebun kelapa.
Remaja itu ialah Rahman.
Rahman berusia 16 tahun, anak yatim piatu dan tinggal bersama neneknya berhampiran dengan sungai kampung Permai Sentosa.

Rahman adalah seorang yang pemarah dan bengis.
Dia bosan dengan kehidupannya yang agak susah.
Dia sentiasa membandingkan betapa bertuahnya orang orang yang dilahirkan mewah dan dikelilingi sanak saudara yang ramai.
Dia sering menyalahkan takdir di atas kesusahannya.
Persoalan yang sering ditanyakan kepada dirinya sendiri ialah, mengapakah dunia ini tidak adil?
Mengapa orang tidak mahu membantu aku untuk hidup senang?
Kenapa anak anak orang yang kaya sahaja yang boleh berjaya?
Rahman berlari dengan agak laju.
Dia kelihatan seolah olah tidak sabar untuk menceritakan sesuatu yang sangat menarik kepada kawan kawannya.
Kawan-kawan…
aku ada berita baik ni…
kata Rahman termengah mengah.
Apa dia?
Balas Haikal yang tidak sabar ingin tahu.
5 kawan Rahman yang lain turut sama mengelilingi Rahman,
bersungguh sungguh mahu mendengar cerita Rahman.
Aku dah ada cara nak bagi Pak Ali salah dalam menjawab soalan,
kata Rahman sambil tersenyum.
Dia masih lagi cuba menghilangkan rasa penatnya kerana berlari terlalu laju tadi.
Kawan kawan Rahman semuanya terdiam.
Haikal ternganga.
Rahim dan Kasim terkebil kebil memandang ke arah Rahman.
Sabri, Zamri dan Farid tersengih sengih seolah tidak mempercayai apa yang telah diucapkan oleh Rahman itu.
Apa kau nak buat? soal Zamri.
Kau semua tengok sini, kata Rahman sambil membuka sedikit genggaman tangan kanannya.
Kelihatan seekor anak burung pipit di genggaman Rahman.
Anak burung itu sudah cukup dewasa untuk terbang,
namun ia tidak mampu berbuat apa apa di genggaman Rahman.

Kau nak buat apa dengan anak burung tu? tanya Farid kehairanan.
Dengar sini. Kita akan bawa burung ni berjumpa dengan Pak Ali.
Aku akan simpan burung ni dalam genggaman aku supaya Pak Ali tak boleh tengok apa yang aku genggam.
Lepas tu aku akan tanya Pak Ali,
adakah burung di dalam tangan aku ni masih hidup atau sudah mati,
jelas Rahman dengan penuh semangat.
Kalau Pak Ali kata burung ni dah mati,
aku akan akan lepaskan burung ni dan biarkan ia terbang.
Pak Ali akan salah.
Kalau dia kata burung ni masih hidup,
aku akan genggam burung ni kuat kuat sampai hancur tulangnya dan mati.
Pak Ali akan salah juga, jelas Rahman lagi.
Jadi, apa-apa jawapan Pak Ali pun, dia akan tetap salah?
soal Sabri yang masih tidak pasti akan tujuan sebenar Rahman.
Tepat sekali. Hari ni, kita akan buktikan yang Pak Ali tu tidaklah sehebat yang kita sangkakan,
kata Rahman sambil ketawa.
Kelihatan wajah Rahman seolah dipenuhi perasaan dengki dan dendam terhadap Pak Ali yang kaya dan ternama itu.
Mari kita pergi, kata Rahman lagi.
Mereka semua pun berlari dengan pantas ke arah hujung kampung.
Terbayang kegembiraan di hati masing masing kerana mereka akan menempa sejarah di kampung Permai Sentosa itu.
Di rumah Pak Ali, pintu rumahnya sudah terbuka.
Dari jauh lagi Pak Ali sudah ternampak Rahman dan kawan kawannya berlari menuju ke arah rumahnya.
Pak Ali hanya tersenyum.
Beliau tahu yang beliau akan diuji sebentar lagi.
Rahman dan kawan-kawannya sampai di halaman rumah Pak Ali.
Pak Ali berdiri tenang di hadapan pintu rumahnya sambil tersenyum.
Rahman tidak mahu melengah-lengahkan masa lagi lalu bersedia untuk bertanya kepada Pak Ali.
Pak Ali! jerit Rahman sambil tersenyum bangga.
Saya ada satu soalan untuk Pak Ali, kata Rahman lagi.
Silakan Rahman, jawab Pak Ali tenang.
Di dalam genggaman saya,
ada seekor anak burung.
Kalau Pak Ali benar benar handal,
beritahu kami, adakah burung ini masih hidup ataupun sudah mati,? soal Rahman.
Dia kelihatan tersenyum puas kerana dia tahu Pak Ali pasti akan malu besar hari ini.
Pak Ali hanya diam.
Dia merenung ke arah Rahman dan kawan kawannya.
Dia kelihatan seolah sedang berfikir.
Namun, Pak Ali tetap kelihatan tenang.
Seketika selepas itu, Pak Ali tersenyum.
Rahman dan kawan kawannya semakin berdebar menanti jawapan Pak Ali.
Benarkah hari ini adalah hari yang akan memalukan Pak Ali?
Apakah Rahman akan menjadi orang pertama yang membuktikan bahawa Pak Ali sebenarnya hanya indah khabar dari rupa?
Pak Ali maju ke depan beberapa langkah.
Kemudian Pak Ali pun berkata,
Rahman, hidup atau mati burung itu adalah terletak di tangan kau sendiri.
Ia sama seperti hidupmu.
Berjaya atau tidak, terletak ditangan kau sendiri, bukan orang lain.
Rahman terdiam.
Begitu juga dengan kawan kawannya.
Perlahan-lahan muka Rahman menjadi merah.
Dia keliru, perlukah dia merasa marah?
Perlukah dia akui kebijaksanaan Pak Ali?
Rahman mula faham apa yang dikatakan oleh Pak Ali.
Benar kata Pak Ali, hidup atau mati burung itu terletak ditangannya sendiri.
Rahman merasa malu namun dia terasa seolah dia telah mempelajari sesuatu daripada apa yang terjadi.
Dia faham maksud Pak Ali.
Selama ini,
Rahman sentiasa menyalahkan orang lain di atas kelemahan dan kesalahan dirinya sendiri.
Sekarang dia faham bahawa,
tidak ada sesiapa yang dapat menentukan kejayaanya melainkan dirinya sendiri.
Perlahan lahan Rahman maju ke depan.
Dia membuka genggamannya.
Lalu anak burung Pipit itu pun terbang dengan bebas menuju ke arah hutan.
Mata Rahman hampir bergenang dengan air mata.
Dia menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan Pak Ali.
Kawan-kawan Rahman masih kaku.
Perlahan-lahan Rahman meninggalkan tempat tersebut.
Kawan-kawan Rahman menyusul dibelakang tanpa sepatah kata.
No comments:
Post a Comment